Lebih 20 individu telah dipanggil manakala 400 fail diteliti berhubung
dakwaan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib
Mahmud, kata Penolong Pesuruhjaya, Urusetia Bahagian Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Lim Bee Kean.
Lim berkata 20 individu terbabit dipercayai terlibat
dan disebut dalam sebuah video yang dimuat naik
di dalam 'YouTube' serta dikaitkan dengan
dakwaan penyelewengan Taib.
"Bagaimanapun siasatan telah bermula sebelum
video tersebut didedahkan iaitu sejak Jun 2011.
"
katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM
di sini, Sabtu.
Mac lepas sebuah video bertajuk 'Inside Malaysia's
Shadow State' didedahkan sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) berpangkalan di London, Global
Witness (GW) yang merakam perbualan antara
penyiasat persendirian GW dengan dua sepupu
Taib.
Lim berkata bagi mempercepatkan proses siasatan
kes berkenaan, sebuah pasukan petugas khas yang
dianggotai 10 pegawai SPRM, Jabatan Peguam
Negara dan agensi lain telah ditubuhkan dan
laporan siasatan akan dikemukakan kepada
Peguan Negara bagi tindakan susulan.
Katanya apabila siasatan selesai dan keputusan
dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Panel
Penilaian Operasi (PPO) akan dimaklumkan
tentang status kes.
"PPO adalah panel bebas yang berperanan melihat
aspek ketelusan dan kebebasan SPRM dalam
setiap tindakan siasatan yang dijalankan.
"Panel ini dianggotai individu daripada pelbagai
latar belakang profesional dan mereka dilantik
mewakili masyarakat atas kepakaran dan mewakili
badan profesional yang bersesuaian bagi
membolehkan mereka memainkan peranan
dengan berkesan," katanya.
Lim berkata SPRM juga dipantau Jawatankuasa
Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang diwujudkan
secara perundangan mengikut Seksyen 12 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi
memastikan perjalanan dan fungsi SPRM mengikut
peruntukan yang ditetapkan.
JKMR dianggotai wakil Dewan Rakyat dan Dewan
Negara daripada pelbagai parti politik seperti
Barisan Nasional, DAP, PAS dan PKR, katanya.
Justeru, beliau menjelaskan SPRM tidak pernah
berhenti daripada menjalankan siasatan berkaitan
kes itu.
Katanya siasatan kes itu dijalankan tanpa gentar
atau pilih kasih, secara bebas, telus serta
profesional malah SPRM mendapat kerjasama
daripada semua individu termasuk Taib.
Beliau berkata pendirian SPRM adalah konsisten
sepanjang masa tanpa mengira latar belakang dan
pangkat individu yang disiasat.
"Sebagaimana kes-kes sebelum ini, SPRM tidak
akan mendedahkan apa-apa butiran siasatan dan
ia selaras dengan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan
bahawa kandungan setiap aduan hendaklah
dirahsiakan dan hanya boleh didedahkan di
mahkamah," katanya.
Namun, katanya, memandangkan kes ini
melibatkan banyak dokumen dan pihak,
kemungkinan siasatan akan mengambil masa dan
siasatan akan berterusan bagi mengumpul bukti
serta keterangan dengan perkembangan terbaru.
-
BERNAMA
No comments:
Post a Comment