Monday, June 3, 2013

3 Maut Dalam Kemalangan di Johor

KULAIJAYA – Tiga maut termasuk seorang
anggota polis sukarelawan selepas terlibat
dengan kemalangan melibatkan tiga buah
kenderaan di KM 24 Jalan Johor Bahru-Ayer
Hitam berhampiran Senai, di sini, malam
kelmarin.
Kesemua yang maut adalah konstabel, Mohamad
Amir Fairuz Mohamad Sobri, 22; dan seorang
suspek, serta seorang pemandu kereta Proton
Iswara yang merupakan warga Indonesia
bertaraf penduduk tetap, Rosde Tukiyo, 48.
Dalam kejadian jam kira-kira 7.40 malam itu,
lapan lagi mangsa yang terlibat dalam
kemalangan terbabit cedera dan kini mendapat
rawatan di Hospital Temenggong Seri Mahajara
Tun Ibrahim, Kulaijaya, di sini, dan dilaporkan
stabil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi
Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata,
kejadian itu dipercayai berlaku apabila pacuan
empat roda yang dinaiki empat anggota polis
bersama empat suspek hilang kawalan
seterusnya memasuki laluan bertentangan dan
bertembung dengan sebuah bas dan kereta
Proton Iswara.
"Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu
yang sedang membawa empat suspek yang baru
sahaja ditahan atas satu kes kecurian di sebuah
pasaraya menuju ke Balai Polis Senai.
"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan
kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan
dan termasuk ke laluan sebelah sebelum
berlanggar dengan bas dan kemudiannya sebuah
kereta yang dipandu seorang lelaki warga
Indonesia," katanya mengesahkan kejadian, di
sini, semalam.
Mohad Samuri berkata, mereka yang terbunuh
dihantar ke Unit forensik Hospital Temenggong
Seri Mahajara Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk
dibedah siasat sebelum dituntut keluarga
masing-masing.
"Pemandu bas bersama 25 penumpang tidak
mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat
mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang
maklumat diminta menghubungi mana-mana
balai polis berhampiran bagi membantu siasatan
yang dijalankan," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa yang tercedera
dalam kemalangan terbabit, Konstabel Shahrin
Midai, 20 berkata, kejadian terbabit berlaku
terlalu pantas, namun bersyukur dirinya
terselamat dalam peristiwa yang tidak disangka
itu.
"Kami baru sahaja selesai menjalankan tugas dan
dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Senai
sebelum secara tiba-tiba kami terlibat dengan
kemalangan dan saya terus pengsan.
"Apabila saya sedar sekitar jam 6.00 pagi (semalam), saya sudah terbaring di katil hospital. Saya tahu seorang rakan saya meninggal dunia, tetapi tidak tahu keadaan rakan-rakan lain yang tercedera," katanya. Shahrin yang juga anggota polis sukarelawan
mengalami patah tangan kiri dan cedera di muka
selain menerima enam jahitan di bahagian kepala akibat kemalangan terbabit. – Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment