Thursday, May 30, 2013

Siti Saleha dikutuk gara gara tuala wanita

PETALING JAYA: Langkah pelakon Siti Saleha
berkongsi pengalaman sebagai model iklan tuala
wanita menerusi laman sosial Instagram
miliknya mendapat hinaan masyarakat yang
disifatkannya sebagai berfikiran sempit.
Siti Saleha, 23, berkata, golongan yang
kebanyakannya lelaki itu cuba mengutuk dan
menyindirnya dengan berkata dia sebagai
perempuan yang tidak tahu malu selepas dia
memuat naik gambar dengan aksi tertentu
untuk iklan berkenaan.
"Saya pernah muat naik gambar ketika
penggambaran iklan tuala wanita jenama Kotax
dengan beberapa pelakon lain, selepas itu ramai
pengikut (Instagram) yang beri kritikan dan
kutukan di gambar itu.
"Mereka kata saya tidak tahu malu kerana
bercakap berkenaan tuala wanita kepada umum
dan jadi duta kepada produk itu," katanya ketika
ditemui pada pelancaran drama Memberku
Hawa Musim Ke-2, di sini, Selasa.
Jelasnya, fikiran dangkal sebegitu tidak
sepatutnya timbul pada zaman ini kerana ia
merupakan perkara normal bagi setiap wanita
dan seharusnya diambil tahu oleh kaum lelaki.
"Lelaki sepatutnya sudah boleh menerima
perkara ini dan ia bukan memalukan kerana
mereka juga akan mempunyai isteri atau anak
perempuan yang melalui perkara yang sama
iaitu perlu memakai tuala wanita.
"Lelaki harus didedahkan dengan perkara ini
dan mereka perlu tahu untuk membeli tuala
wanita jika diminta oleh isteri dan ia bukan lagi
sesuatu yang memalukan," ujarnya.
Dalam pada itu selain Siti Saleha turut berlakon
dalam drama bersiri Memberku Hawa musim
kedua bersama pelakon Nad Zainal. Drama itu
adalah tajaan Kotax.
"Ya... saya membawa watak Nur Hawa iaitu
seorang wanita bertudung dalam drama ini dan
dalam masa yang sama saya juga merupakan
duta produk tuala wanita ini.
"Kami akan adakan beberapa program luar
bersama pengguna Kotax, namun begitu ketika
di luar, saya tidak bertudung dan imej saya
berbeza berbanding dalam drama berkenaan.
Tambah Saleha, apa yang lebih penting adalah
tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta
produk tersebut dalam memberi inspirasi
kepada setiap wanita.
"Tanggungjawab besar saya adalah untuk
meningkatkan keyakinan diri setiap wanita, isu
bertudung atau watak itu hanya dalam drama
sahaja dan tidak dibawa keluar.
"Bagaimanapun, secara jujur saya selesa
berlakon bertudung dan tidak rasa kekok,
sebelum ini juga pernah bawa watak-watak
bertudung dan tidak menjadi masalah bagi saya,"
katanya.
Drama Memberku Hawa Musim ke-2 akan
disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun depan pada
pukul 10 malam di Astro Ria. Ulangannya adalah
pada setiap Ahad pukul 6.30 petang.
Drama ini mengisahkan wanita muda Malaysia
yang berdepan dengan cabaran hidup dengan
sikap positif dan berpendirian teguh.
Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, drama ini turut
dibarisi Sharifah Sofea, Nur Zaireen Mohd Zait,
Christina Suzane dan Nor Nadia Nor Mahazan.

No comments:

Post a Comment