Seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah
motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta
di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat,
33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira
10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu.
Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu
Pejabat Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang
melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.
Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah
tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru
apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong
sebuah kenderaan lain.
Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat
mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19
tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.
Zainalabidin berkata selepas melanggar mangsa, kereta berkenaan yang
hilang kawalan melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh.
"Melihat kejadian itu saya menghampiri mangsa danmelihat sebelah kaki
mangsa putus dan dijumpai berhampiran tembok yang runtuh," katanya.
Menurutnya mereka berdua baru bertemu sejak Sabtu lepas dan ditugaskan
untuk membantu kelancaran trafik sempena PRK DUN Kuala Besut.
Mencerita saat beliau menghampiri mangsa, Zainalabidin berkata beliau
terdengar mangsa merintih "Apa dosa saya? Kenapa dia langgar saya ? ".
Mangsa yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu dikejarkan ke
Hospital Besut dengan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah
Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.
Keadaannya kini dilaporkan stabil.
Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt
Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu.
Katanya suspek yang mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan bagi
membantu siasatan.
SUMBER: TERENGGANU TODAY
No comments:
Post a Comment